A write up by saudara RidzwanUmum sedia maklum bahawa menternak kambing adalah sunnah Nabi Muhamad s.a.w. Kita mendengar kisah ini ketika berkursus di ar Raudah dan juga dari tok guru-tok guru ugama yang kita belajar dulu. Malahan kisah nabi-nabi seperti Nabi Shuib, Nabi Musa, Nabi Haron dan lain-lain nabi juga menjadi pengembala kambing. Nabi Isa dimalam sebelum beliau di angkat ke langit mengidam untuk makan kambing bakar dan salah seorang sahabatnya menyediakan masakan kambing bakar kepada baginda (Gospel According to St Barnabas). Jadi memang benarlah bahawa menternak kambing sememangnya kerja yang baik dan mengikut sunah nabi-nabi.
Tetapi apakah tanggungjawab kita sebagai seorang penternak yang beragama Islam dan Melayu. Makalah ini tidak akan meyentuh tentang peri kisah kita sebagai orang melayu dalam pertanian atau penternakan tetapi sebagai seorang penternak yang beragama Islam. Semua faham bahawa konsep halal dalam penternakan adalah memastikan binatang ternakan yang di bela mestilah halal dari segi pemakanan, sembelihan, penyimpanan dan sebagainya. Tetapi kita haruslah menjangkau lebih dari itu sekiranya kita menganggap pekerjaan menternak binatang mengikut sunnah dan berkonsepkan Islam. Antara lain-lain perkara yang harus dititikberatkan oleh seorang penternak Islam adalah:
1 . Menjaga alam sekitarRasullah s.a.w pernah bersabda, sekiranya kita pasti kiamat akan berlaku esok hari dan hari ini kita akan menanam pokok-pokok tanaman... maka kamu tanamlah pokok itu semoga kamu mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Dari hadis ini terdapat beberapa pengajaran dan yang terpentingnya bagaimana Rasullah s.a.w menitik beratkan peranan melakukan kebaikan kepada alam dan sumbangan umatnya kepada kesejahteraan bumi. Namun ramai dikalangan penternak terutamanya di Malaysia kurang peka didalam aspek pemeliharaan alam sekitar. Sekiranya dia seorang penternak kambing, dia mengitar semula tinja kambing itu bukannya disebabkan oleh kesedaran alam sekitar tetapi keuntungan yang diperolehi dari jualan baja. Pernahkah kita terfikir bagaimana untuk menyalurkan air kencing dan lain-lain sisa buangan hasil dari ternakan kambing agar tidak mencemari alam sekitar?
Penggunaan air bawah tanah adalah salah satu tindakan yang dianggap bijak dan berjimat cermat dalam mengurangkan kos operasi. Dengan kadar harga tarif air yang semakin meningkat terutamanya di lain-lain negeri kecuali di negeri Selangor, pengguaan air bawah tanah adalah satu-satunya penyelesaian. Tambahan pula air bawah tanah yang tulen adalah sumber air yang paling sesuai untuk dijadikan minuman ternakan. Namun pernah kah kita terfikir bahawa pengunaan air bawah tanah secara berlebihan akan menyebabkan ganguan kepada sistem hidrology dan ekology tanah dan muka bumi? Pernahkah kita terfikir untuk mengitar semula air yang digunakan supaya kita tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada air bawah tanah yang dianggap percuma. Kita mungkin menganggap air bawah tanah itu percuma tetapi sebenarnya harga yang perlu kita bayar adalah alam sekitar yang mungkin terganggu akibat aktiviti kita.
2. Guna tenagaKebanyakkan dari kita apabila mahu memulakan aktiviti penternakkan perkara utama yang menjadi persoalan adalah bekalan letrik untuk mengerakkan operasi kita. Sekiranya tiada bekalan letrik kita berusaha untuk mengadakan sambungan agar kerja-kerja operasi berjalan lancar. Tapi pernah kah kita terfikir bahawa Allah s.w.t telah menyediakan sumber yang secukupnya untuk mengerakkan bekalan letrik. Penggunaan tenaga angin dalam bentuk kincir angin untuk mengerakan pam-pam air, dan bekalan letrik di waktu malam serta penggunaan tenaga solar untuk bekalan letrik adalah sumber tenaga alternative. Mungkin ramai akan berkata bahawa kos pembelian dan pemasangan panel-panel solar terlalu mahal tetapi pernahkah kita bertekad pada suatu hari dengan laba yang di perolehi kita akan memperuntukkan sebahagiannya untuk memasang sistem letrik solar atau angin. Penggunaan kuasa graviti dan bentuk muka bumi (land terrain) untuk mengalirkan air merupakan satu satu langkah untuk mengurangkan penggunaan letrik. Rasullulah s.a.w walaupun tidak mempunyai bekalan letrik pada zaman baginda tetapi sentiasa memikirkan penggunaan graviti dan land terrain untuk pengairan kebun2 dibawah jagaannya dan untuk bekalan air haiwan ternakan jagaanya.
3. Kebajikan Haiwan Ternakan (Animal Welfare)Ramai dikalangan penternak meletakkan kebajikan haiwan ternakan mereka sebagai sesuatu yang perlu dilakukan demi untuk memaksimumkan keuntungan. Sekiranya kos melebihi dari keuntungan, aspek kebajikan haiwan ternakan akan berada didalam senarai yang terakhir atau di pertengahan keutamaan. Terdapat penternak-penternak yang meletakkan kambing belaan mereka didalam kandang yang terlalu sempit sehingga menyukarkan kambing tersebut berpusing atau bergerak. Sifat semula jadi kambing yang aktif and ingin tahu di tekan hanya disebabkan ingin memuatkan sebanyak mungkin kambing didalam satu-satu kandang. Alasan kononnya mengamalkan konsep feedlot bukanlah sehingga menjadikan kambing-kambing tersebut sukar melakukan gerakan-gerakan yang sememangnya bersifat semulajadi. Tidak ramai yang menganggap kambing adalah kejadian Allah s.w.t dan kita diamanahkan untuk memeliharanya. Sepak terajang dan hempas menghempas kambing ternakan dianggap biasa dan menjadi lumrah yang kononnya untuk memudahkan pekerjaan atau menpercepatkan proses dan operasi kerja.
Berapa ramai di kalangan kita yang mengambil sikap dan beranggapan bahawa Allah s.w.t menganugerahkan kepada kita haiwan ternakan yang berkhidmat untuk kita. Iaitu ianya dilahirkan untuk memberi rezeki dan kesenangan kepada kita. Dan pernahkah kita terfikir untuk memasang kaset atau CD bacaan quran kepada kambing-kambing peliharaan kita. Mungkin sebahagian akan mengatakan tindakan ini gila tetapi di Jepun, lembu-lembu (Kobe Meat/Kobe Cows) di perdengarkan lagu-lagu klasik seperti Mozart, Beethoven. Adakah mereka ini gila. Padahal, kita ketahui bahawa batu-batu, pokok-pokok dan binatang-binatang sentiasa memuji-muji Allah s.w.t. Adakah tindakan memasang bacaan al-quran tindakkan gila?
4. Zakat dan SedekahIni adalah satu aspek utama didalam prinsip ternakan didalam Islam dan juga salah satu rukun Islam. Namun masih ramai dikalangan kita yang mengabaikan tanggungjawab kita dalam mengira dan memberi zakat. Allah didalam firmannya bahawa Dia akan menyempitkan rezeki yang diberikan kepada hambanya yang kedekut dan tidak mengeluarkan zakat yang sepatutnya. Bersedekah juga adalah salah satu prinsip yang harus dipegang oleh penternak-penternak Muslim. Apalah salahnya kita menyembelih seekor atau dua ekor kambing peliharaan dan disedekahkan kepada golongan miskin yang berselerakkan dikawasan ladang kita.atau bersedekah kepada masjid yang berhampiran untuk dinikmati oleh masyarakat setempat. Bukan hanya Allah s.w.t memberkati pekerjaan kita dan memurahkan rezekiNya malahan penduduk setempat akan bersama-sama membantu dan menolong kita menjayakan usaha ternakan kita.
5. Penggunaan Sains dalam TernakanKetika di ar Raudah, kita didedahkan oleh teknik-teknik permanian beradas untuk membuntingkan kambing-kambing. Permanian beradas adalah salah satu teknik dan teknologi berasaskan sains yang terkini. Keghairahan kita memperkatakan teknik permanian beradas kadang kala menjadikan kita lupa bahawa hanya Allah s.w.t sahaja yang menentukan samada kambing-kambing itu bunting atau tidak. Jadi janganlah terlalu mengharapkan kejayaan melalui teknik ini sehingga menjadikan kita lupa akan kekuasaan Allah s.w.t dan jatuhnya kita dikalangan orang-orang yang melakukan perbuatan dan rasa syirik. Terdapat satu kenyataan yang mengatakan bahawa teknik permanian beradas tidak memerlukan kambing pejantan. Mencukupi dengan kita memelihara kambing betina sahaja untuk menghasilkan anak. Betul dan logik pada satu peringkat didalam bidang sains tapi kita lupa yang naluri semula jadi kambing itu harus diambil kira. Sekiranya kita menjauhkan naluri dan sifat semula jadi kambing itu yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t maka kita telah membelakangkan kejadian tuhan. Maka di peringkat ini saudara-saudara penternak haruslah memikirkan adakah hujah ini pertepatan atau tidak
Sebagai kesimpulannya, kita sebagai seorang Islam dan juga penternak kambing seharusnya mendahulukan agama dan aspek-aspek keagamaan dalam melakukan aktiviti-aktiviti penternakkan. Maka barulah kita dapat berbangga dan beranggapan bahawa kambing-kambing hasil ternakan kita bukan sahaja halal malahan mengikut lunas-lunas Islam dan sunnah. Terdapat berbagai-bagai lagi aspek operasi pemeliharaan kambing yang berkonsepkan Islam yang dapat kita pertengahkan, maka marilah kita bersama-sama memikirkanya dan mengamalkanya... والله آعلم
~~~~~~~~~
Haa... Apa komen anda? Kalau ada idea dan buah fikiran yg nak di kongsi bersama boleh la email kepada saya di
behawitz@falahdizar.com